Terlupa Dalam Sholat (1/2)


sholat 3
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Memang tidak dinafikan bahawa lupa itu sering terjadi pada manusia. Dalam pandangan Islam orang yang lupa, tersilap dan dipaksa melakukan perkara dosa adalah dimaafkan. Sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh  Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku  kerana tersilap, lupa dan yang dipaksa ke atasnya.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)
Lupa itu berlaku dalam semua perkara termasuk lupa  dalam sembahyang. Umpamanya terlupa melakukan syarat, rukun atau sunat sembahyang. Untuk lebih jelasnya, dihuraikan beberapa contoh-contoh lupa dalam sembahyang dan cara penyelesaiannya.
Contoh-Contoh Lupa Syarat Sembahyang
Syarat sembahyang adalah perkara yang mesti dilakukan sebelum mengerjakan sembahyang dan ia berterusan sehingga selesai sembahyang. Sembahyang tidak akan sah jika syarat-syarat sembahyang itu tidak ditunaikan terlebih dahulu. Syarat sembahyang itu ada lima, iaitu mengetahui waktu sembahyang, menghadap kiblat, menutup aurat, suci daripada hadas dan suci daripada najis.
Antara contoh-contoh lupa melakukan syarat sembahyang itu seperti seseorang yang terlupa untuk bersuci daripada hadas kecil atau hadas besar. Jika teringat dan yakin yang dia tidak berwudhu atau tidak mandi wajib, maka sembahyang yang dikerjakan dalam keadaannya yang tidak suci itu adalah tidak sah. Walau bagaimanapun dia mendapat pahala atas qashadnya (niatnya) tetapi bukan mendapat pahala atas perbuatan sembahyangnya.
Demikian juga jika dia memakai pakaian yang bernajis disebabkan lupa, sedang dia telah mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Apabila teringat dan yakin yang dia memakai pakaian yang bernajis, maka tidak sah sembahyang tersebut. Oleh yang demikian hendaklah dia mengerjakan sembahyang itu semula dengan memakai pakaian yang suci daripada najis.
Apabila seseorang tidak mengetahui sehingga dia meninggal dunia bahawa pakaian yang dipakainya ketika mengerjakan sembahyang itu ada najis, maka menurut fatwa al-Baghawi, diharapkan daripada kemurahan Allah agar tidak diambil kira. Ini kerana Allah menggugurkan dosa bagi orang yang tersilap, terlupa atau dipaksa.
Jika terjadi syak pada diri seseorang itu sama ada dia telah berwudhu ataupun tidak, maka tidak sah sembahyangnya kerana dia syak pada asal bersuci sedang asalnya dia tidak bersuci. Adapun jika dia syak sama ada wudhunya batal ataupun tidak, maka sembahyangnya itu sah kerana dia syak pada batalnya wudhu sedangkan pada asalnya wudhunya itu masih ada.
Contoh-Contoh Lupa Rukun Sembahyang
Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:
  1. Rukun qalbi: Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaiu niat.
  2. Rukun qauli: Rukun yang bersangkut paut dengan perkataan, seperti takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah.
iii. Rukun fi’li: Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, rukuk dan sujud.
Perkara yang sering terjadi dalam sembahyang ialah lupa melakukan tertib sembahyang, sama ada tertib di antara rukun atau tertib di antara sunat-sunat sembahyang. Tertib di antara sunat sembahyang tidak termasuk dalam rukun sembahyang, akan tetapi hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang. Seperti mendahulukan membaca at-ta’auuz  sebelum membaca iftitah, maka dalam hal ini at-ta’auuz itu diulang semula selepas membaca iftitah, kerana at-ta’auuz sebelum itu tidak dikira sebagai sunat, disebabkan ia dibaca bukan pada tempatnya. Demikian juga halnya tertib di antara sunat sembahyang dan rukun sembahyang, seperti mendahulukan membaca surah al-Qur’an sebelum membaca surah al-Fatihah.
Sementara tertib di antara rukun sembahyang pula adalah termasuk rukun sembahyang. Jika tidak dilakukan tertib itu dengan senghaja umpamanya didahulukan rukun fi’li seperti sujud sebelum rukuk atau rukuk sebelum membaca surah al-Fatihah atau mendahulukan rukun qauli iaitu memberi salam sebelum sujud, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya.
Adapun jika didahulukan rukun qauli dengan senghaja (selain memberi salam) sebelum rukun fi’li seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud ataupun didahulukan rukun qauli sebelum rukun qauli yang lain seperti mendahulukan shalawat sebelum membaca tasyahhud, maka tidaklah batal sembahyang itu akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (shalawat) kerana ia dibaca bukan pada tempatnya dan tanpa diulang semula yang kena dahului itu (tasyahhud).
Bagaimana pula keadaannya jika terlupa melakukan rukun sembahyang kemudian teringat rukun yang tertinggal itu ketika dalam sembahyang ataupun sesudah selesai sembahyang. Oleh itu, eloklah disebutkan beberapa contoh-contoh lupa melakukan tertib di antara rukun sembahyang seperti berikut:
  1. Ingat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya
Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak sebelum sampai pada rukun sepertinya di rakaat berikutnya, maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu adalah tidak dikira. Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.
Sebagai contoh hal di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) yang lupa membaca surah al-Fatihah, kemudian teringat ketika sedang rukuk. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al-Fatihah dan rukuknya sebelum itu tidak dikira. Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.
Imam atau munfarid yang lupa melakukan rukuk, kemudian teringat ketika sedang sujud. Maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan rukuk. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.
Demikian juga halnya jika timbul syak ketika rukuk sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak, maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fatihah. Jika dia menunggu walau seketika untuk mengingati perkara yang disyakinya itu, maka batallah sembahyangnya. Berbeza halnya jika terjadi syak ketika sedang qiyam (berdiri), syak sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak. Maka dalam hal ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.
  1. Ingat Rukun Yang Tertinggal Setelah Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya
Apabila tertinggal rukun sembahyang kemudian ingat ataupun terjadi syak setelah sampai pada rukun sepertinya (seperti yang tertinggal atau yang disyaki itu), maka memadailah rukun sepertinya itu menjadi ganti kepada rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu. Kemudian hendaklah dilakukan baki sembahyang sehingga sempurna rukun dan rakaatnya, kerana perbuatan di antara rukun yang tertinggal dan rukun sepertinya itu tidak dikira. Sebelum memberi salam disunatkan sujud sahwi.
Untuk jelasnya, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) tertinggal rukuk di rakaat pertama kemudian ingat ataupun terjadi syak ketika rukuk di rakaat kedua, maka memadailah rukuk rakaat kedua itu sebagai ganti rukuk rakaat pertama yang tertinggal atau yang disyaki itu. Apa yang dilakukan antara rukuk rakaat pertama dan rukuk rakaat kedua adalah tidak dikira. Kemudian lakukanlah baki sembahyang sehingga sempurna segala rukun dan rakaat sembahyang itu.
  1. Ingat Rukun Yang Tertinggal Sesudah Memberi Salam
Ingat rukun yang tertinggal sesudah memberi salam, maka dalam hal ini hendaklah dilihat kadar panjang atau pendeknya masa di antara sesudah memberi salam dan waktu ingat. Hendaklah dilihat juga jenis rukun yang tertinggal itu, sama ada ia niat dan takbiratulihram atau rukun selain keduanya. Jika yang tertinggal itu niat dan takbiratulihram, maka hendaklah diulang semula daripada awal sembahyang itu.
Adapun jika rukun yang tertinggal itu selain daripada niat dan takbiratulihram serta jangka masa di antara salam dan ingat itu pendek, dan dia tidak terkena najis serta tidak banyak berkata-kata, maka lakukanlah baki rukun yang tertinggal itu tanpa mengulang semula sembahyang. Hal ini telah digambarkan dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:
Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang bersama kami sama ada sembahyang zohor atau asar. (Pada rakaat kedua) Baginda memberi salam. Berkata Zulyadain kepada Baginda: “Apakah sembahyang dikurangkan wahai Rasulullah?”
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada sahabat-sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakannya itu?”
Mereka berkata: “Ya!” Maka Baginda menyambung sembahyang dua rakaat yang lain kemudian sujud dua kali (sujud sahwi).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Kadar jangka masa panjang dan pendek itu adalah mengikut ‘uruf. Diiktibarkan kadar masa pendek itu seperti apa yang dinukil tentang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada khabar Zulyadain. Dalam khabar Zulyadain itu menggambarkan Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zulyadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka. Sementara  kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zulyadain tersebut.
Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa serakaat. Sementara menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.
  1. Makmum Terlupa Rukun Sembahyang
Apabila makmum teringat atau syak meninggalkan surah al-Fatihah sebelum dia melakukan rukuk dan selepas imam telah rukuk, maka hendaklah makmum membaca surah al-Fatihah itu dahulu kemudian bersegera mengikuti imamnya. Dalam hal ini makmum itu dimaafkan terkebelakang daripada imamnya sebanyak tiga rukun yang panjang.
Sementara jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan surah al-Fatihah selepas dia dan imam melakukan rukuk, maka janganlah makmum kembali berdiri untuk membaca surah al-Fatihah. Akan tetapi hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.
Adapun jika makmum itu teringat atau syak meninggalkan rukun sembahyang selain surah al-Fatihah, maka janganlah dilakukan yang tertinggal itu, bahkan hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.
Jika makmum itu teringat meninggalkan niat dan takbiratulihram, maka batal sembahyangnya. Demikian juga jika terjadi syak meninggalkan niat dan takbiratulihram dan berpanjangan syaknya sehingga berlalu satu rukun, maka batal sembahyangnya.
Dalam hal hukum sunat melakukan sujud sahwi pula, tidak disunatkan sujud sahwi jika makmum terlupa sesuatu rukun yang ditinggalkannya ketika mengikuti imam. Ini kerana imam yang suci daripada hadas menanggung kekurangan makmum. Lain pula halnya jika makmum itu terlupa sesuatu rukun selepas salam imam, maka pada ketika itu imam tidak lagi menanggung makmumnya kerana sudah terputus qudwah (ikutan) itu.
Berlainan halnya apabila terjadi pada makmum syak dan berterusan syaknya itu sehingga selesai mengikuti imam, maka disunatkan bagi makmum itu melakukan sujud sahwi selepas disempurnakannya rukun yang disyakinya itu. Ini kerana imam tidak lagi menanggung syaknya itu bahkan dia sendiri yang menanggungnya.
  1. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Rukun Sembahyang
Apabila imam terlupa melakukan perbuatan rukun sembahyang, maka sunat bagi makmum lelaki mengingati imam dengan bertasbih seperti katanya:  (SUBHANALLOH) atau seumpamanya dengan suara yang jahr (nyaring). Bagi makmum perempuan pula sunat menepuk tangannya iaitu menepuk zahir tapak tangan kanan dengan batin tapak tangan kiri atau sebaliknya. Menurut ulama Syafi’eyah, jangan menepuk tangan dengan kedua-dua batin tapak tangan (bertepuk tangan), jika dilakukan demikian itu dengan niat bermain-main maka batal sembahyangnya.
Jika imam itu teringat rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya, maka hendaklah imam itu melakukan rukun tersebut. Akan tetapi jika imam itu yakin pada dirinya tidak menambah atau mengurangi rukun sembahyang, maka hendaklah dia beramal dengan keyakinan dirinya tanpa mengikut teguran makmumnya walaupun bilangan makmum itu ramai.
Dalam keadaan ini, apabila imam meninggalkan dengan senghaja atau lupa untuk melakukan perbuatan rukun sembahyang seperti imam lupa sujud kemudian dia terus berdiri dan tidak kembali kepada yang terlupa itu (sujud), maka tidak boleh makmum itu mengikuti imamnya akan tetapi hendaklah dia berniat mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam) dan makmum menyempurnakan sembahyangnya itu dengan sembahyang seorang diri.
  1. Lupa Atau Syak Bilangan Rakaat
Seseorang yang syak bilangan rakaat ketika dalam sembahyang, umpamanya adakah dia telah melakukan tiga atau empat rakaat? Maka dalam keadaan ini hendaklah dia mengambil bilangan rakaat yang sedikit. Kemudian melakukan baki sembahyang lalu sujud sahwi sebelum salam.
Jika teringat pada rakaat yang disyakinya itu sebelum masuk pada rakaat yang lain, maka tidak disunatkan sujud sahwi. Umpamanya di rakaat ketiga terjadi syak pada dirinya sama ada dia telah melakukan tiga atau empat rakaat. Kemudian ia teringat dalam rakaat ketiga itu bahawa dia telah melakukan tiga rakaat. Maka dalam keadaan ini tidaklah disunatkan sujud sahwi. Akan tetapi jika dia teringat sesudah sampai melakukan rakaat keempat, maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi sebelum salam.
Adapun jika terjadi syak selepas memberi salam, sama ada syak pada bilangan rakaat sembahyang ataupun rukun yang lainnya maka tidaklah syak itu memberi kesan apa-apa terhadapnya.

Komentar

Postingan populer dari blog ini

Makalah TSUNAMI ACEH 2004

Makalah Tentang Permainan Tradisional "Bola Bekel"

MAKALAH KHALAF: AHLUSSUNNAH (AL-ASY’ARI DAN AL-MATURIDI)